SEJARAH PONDOK SUNGAI DURIAN

 

       
   

SEJARAH PENUBUHAN PONDOK SUNGAI DURIAN

 

Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian atau lebih dikenali sebagai Pondok Sungai Durian di kalangan masyarakat umum. Ia juga dikenali dengan Pondok Haji Deraman (PHD). Ianya merupakan pondok termaju di Ulu Kelantan juga merupakan pondok terulung dan salah satu pondok yang terus hidup dan berkembang sehingga kini.

 

Pondok Sungai  Durian adalah satu-satunya pusat pengajian dan pendidikan Islam yang menggabungkan di antara dua aliran iaitu secara tradisional dan moden. Kedua-dua aliran tersebut adalah adalah hasil cetusan pemikiran al-Marhum Tuan Guru pengasas Hj. Abdul Rahman bin Sulaiman walaupun cara ini berbeza dengan sistem pengajian pondok yang telah sedia ada. Tujuan beliau ialah untuk mengatasi masalah pelajar di samping memaju dan memperbaharui lagi pusat pengajian pondok. Perjuangan Tuan Guru tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan diteruskan oleh generasi kedua (anak-anak al-Marhum). 

 

Sistem pengajian pondok (tradisional) merupakan sistem pengajian kitab-kitab silam terdiri daripada Ulama’ terkemuka, sama ada dalam bahasa melayu jawi atau bahasa Arab. Manakala sistem sekolah (moden) pula menggabungkan antara sukatan Pondok Sungai Durian sendiri dan pada peringkat permulaan menggunakan sukatan pelajaran pelajaran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) tetapi kini menggunakan sukatan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

 

Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian ini telah ditubuhkan dengan rasminya  pada 04 Jun 1958  bersamaan 10 Safar 1378 Hijrah oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Pendaftaran pondok ini dibuat di bawah  MAIK dengan nombor 134 (dalam MAIK), 365/68 (kertas MAIK). Ia dinamakan “ Muhammadiah” sempena mengambil nama anak sulung kepada pengasasnya. Ia juga bersempena nama junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

 

Pada asalnya pondok ini telah diasaskan di Bukit Enggong Guchil Kuala Krai pada tahun 1957. Ia dibina dengan pertolongan dan bantuan penduduk kampung serta kakitangan jabatan perhutanan. Binaan pondok tersebut menggunakan kayu tanpa mengenakan sebarang bayaran. Hasil daripada pembinaan pondok itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan walaupun tidak mendapat bantuan kewangan dari kerajaan.

 

Kemudian pada tahun 1958 pondok tersebut terpaksa dipindahkan dari bukit Enggong di Guchil ke Kampung Sungai Durian kerana tidak mendapat persetujuan Pegawai Daerah Kuala Krai pada ketika itu Dato’ Che Lah dengan alasan lokasi di situ tidak sesuai. Tetapi mengikut pendapat lain, antara faktor utama ialah lokasi itu tidak sesuai dengan sistem pengajian pondok, lebih-lebih lagi bilangan pelajar bertambah.

 

Pondok Sungai Durian yang dulunya dibina di atas sebidang tanah seluas 4 ekar yang terletak di  Sungai Durian  sejauh 3 kilometer dari bandar Kuala Krai dan 66 km dari bandar Kota Bharu. Pada peringkat awal, hanya mempunyai sebuah bangunan dua tingkat dengan kemudahan asas yang terdiri daripada 2 bilik ruang pejabat, 8 bilik darjah, satu bilik untuk perpustakaan dan kantin.

 

Tetapi kini telah dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas yang dapat menampung keperluan pelajar-pelajar dan penghuninya. Kawasannya dahulunya hanya 4 ekar sekarang  telah bertambah keluasannya kepada 12 ekar, hasil daripada pembelian dari jiran-jiran sekitar pondok.

 

 

 SEBAB-SEBAB PENUBUHAN

                                                            

Sepanjang kajian, penulis mendapati faktor utama utama yang membawa kepada penubuhan Pondok Sungai Durian ialah atas keinginan peribadi al-Marhum Haji Abdul Rahman dan motivasi gurunya yang berada di Mekah, beliau sendiri pernah menceritakan sebab-sebab kenapa beliau pulang ke Malaysia, sedangkan beliau sendiri lebih selesa tinggal di Makkah.

 

Menurut isteri al-Marhum, gurunya tidak membenarkan beliau pulang ke tanah air kecuali dengan dua syarat utama, pertama mesti menubuhkan sebuah sebuah pusat pengajian pondok dan kedua berjanji tidak akan manjawat apa-apa jawatan sama ada dalam sektor kerajaa atau swasta (tidak makan gaji).

 

Selain dari itu ia berpunca daripada desakan masyarakat ulu Kelantan pada ketika itu yang mempunyai kesedaran betapa pengtingnya pendidikan agama kepada masyarakat. Keadaan ini telah mendorong mereka mendesak supaya ditubuhkan sebuah pusat pengajian bagi memudahkan mereka mendalami ilmu agama.

 

Atas dasar inilah diiringi dengan rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada agama, masyarakat dan negara Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian didirikan dengan diterajui oleh anak tempatan Kuala Krai sendiri. 

 

FALSAFAH DAN MATLAMAT PENUBUHANNYA

 

Falsafah dan matlamat penubuhan pondok ini adalah seperti berikut:

 

  1. Untuk melahirkan satu generasi dari umat Islam yang boleh dan mampu melaksanakan fungsi kewujudannya sebagai “hamba” kepada Allah s.w.t dan juga sebagai khalifahNya di muka bumi ini.

 

  1. Memberi pendidikan kepada pelajar-pelajarnya ilmu yang boleh membawa mereka mengenali Allah s.w.t pada paras yang dikehendaki oleh syariat Islam,mengenali hakikat alam ini sertra hakikat insan.          

   

  1. Untuk mendidik akal dan hati supaya memiliki ciri-cirinya yang sebenarnya yang diperlukan oleh sebuah masyarakat yang mana merupakan paksi yang kukuh dalam pembentukan peribadi muslim yang hakiki lagi berwibawa.

 

  1. Untuk melahirkan para ilmuan yang mempunyai peribadinya yang bersepadu, dengan ini maka mereka mampu menyelesaikan masalah-masalah yang di kalangan masyarakat melalui neraca-neraca Islam yang sebenar.

 

LOKASI

 

Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian didirikan di atas tanah seluas 3 hektar yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah iaitu Tuan Haji Yusof bin Abdul Rahman dan seorang pemilik berbangsa asing.Madrasah ini kekal sehingga ke hari ini.