SISTEM PEMBELAJARAN

 

       
   

SISTEM PEMBELAJARAN

 

Sistem pondok merupakan pusat pengajian Islam yang menanam semangat Islam serta menyemai benih berunsurkan kerohanian dalam jiwa setiap individu untuk membentuk mukmin kamil. Ianya merupakan sistem warisan ulama’ di mana ianya dipimpin oleh tuan guru tanpa mengharapkan orang lain;hanya bergantung semata-mata kepada Allah tanpa merebut pangkat dunia yang sementara ini.Tujuan mereka hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, menghapuskan kerosakan akhlak dan kejahilan umat Islam serta memelihara agama Islam.ia juga bermatlamat melahirkan pelajar sebagai penyambung ilmu serta amalan.Pondok dijadikan tempat belajar pelbagai bidang ilmu agama.Kitab yang digunakan merupakan kitab tua yang disusun dan dikarang oleh pengikut mazhab Syafie dan lain-lain mazhab yang berpegang kepada ahli sunnah wal jamaah

      Pondok mewajibkan amalan amali dan mematuhi peraturan dengan tujuan mencapai matlamat yajng dicita-citakan iaitu membentuk peribadi mulia dari segi pemakaian,percakapan,budi pekerti seterusnya darjah ketaqwaan di sisi Allah bagi menjadi mukmin yang benar-benar kamil.

      Kegiatan belajar bertujuan untuk mendidik pelajar supaya faham hakikat Islam.Ia memberi perhatian khusus melalui 2 cara iaitu :

 

a.   Pengajian khas ( kelas bimbingan )

b.   Hafaz dan muzakarah

 

Hafalan merupakan kunci kejayaan yang utama bagi kebaikan pelajar.Ianya melibatkan :

 

1. Kalimah arab yang penting serta maknanya

2. Hafalan tasrif dan matan

3. Latihan amali

     

Sistem 3M turut dijalankan supaya pelajar dapat menguasai pelajaran. Bentuk pengajian terbahagi kepada 2  iaitu :

 

Pertama : Pengajian Umumi (pelajar diberi kebebasan memilih mata pelajaran yang hendak diikuti)

      Pengajian umumi merupakan pengajian sebenar bagi cara tradisional pondok. Ianya merupakan kelas terbuka dan dibenarkan kepada semua pelajar mengikutinya. Di samping pelajar, masyarakat luar juga datang untuk menimba pelajaran samada mereka yang tinggal dekat atau berjauhan dengan pondok.

      Kelas ini dimulakan dari jam 7.30 pagi hinggalah jam 8.30 pagi. Ianya berkaitan dengan pengajian tasauf dan usuluddin. Kelas ini merupakan suatu kelas yang terbuka tanpa had umur atau pengetahuan.

      Selepas itu ianya akan diadakan pada waktu tengahari, iaitu selepas zohor. Ianya akan tamat hampir pada jam 3.00 petang. Pelajaran yang diadakan ialah pelajaran fekah

Kemudian kelas ini diadakan lagi selepas asar. Ianya diadakan sebagai kelas pengajian fekah atau tafsir. Kelas umumi juga diteruskan selepas maghrib hingga ke larut malam. Sebagai kesimpulannya boleh dikatakan bahawa setiap kali lepas solat lima waktu maka akan ada

Selain kelas yang tercatat tersebut, terdapat kelas-kelas yang diadakan secara sukarela oleh pembantu pengajar di pondok-pondok atau di kelas-kelas yang tersedia. Terpulang kepada pelajar yang mahu memilih atau mengikuti mana-mana pelajaran yang mereka perlukan.

 

Kedua      :  Pengajian Nizami (secara kelas mengikut  tahap kemampuan masing-masing)

Sistem kelas pada tahap ini merupakan suatu peraturan yang ditetapkan oleh pihak pentadbir ke atas pelajar. Mereka telah diatur dan ditetapkan pada kelas-kelas yang tertentu mengikut tahap kebolehan dan keupayaan mereka di dalam bidang ilmu pengetahuan.

Kelas ini bermula dari jam 9.00 pagi hingga jam 11.00 pagi. Ianya dijalankan dengan kelas-kelas tertentu dan diajarkan mengikut jadual pengajian harian yang telah ditetapkan.

Kelas-kelas yang disediakan ini terbahagi kepada enam kelas. Bagi mereka yang buta jawi, atau baru mendapat pendidikan akan ditempatkan di kelas pemulihan. Setelah menduduki kelas tersebut selama setahun dan menunjukkan keupayaannya menguasai pelajaran melalui ujian tahunan, mereka akan melangkah setapak ke kelas lebih tinggi.

Kelas ini dikenali dengan kelas ibtida’i, atau kelas peralihan. Selepas menjalani kelas ini, ianya akan meneruskan pelajarannya dengan melalui kelas demi kelas, sehingga ke kelas yang terakhir.

      Bagi mereka yang berada di tahap pemulihan dan peralihan dikenakan kelas nizami tambahan pada jam 9.30 malam hingga ke jam 10.30 malam. Ianya diadakan setiap malam  kecuali malam minggu pondok iaitu malam Jumaat.

 

SUKATAN PELAJARAN

      Pondok merupakan institusi pengajian yang memperkenalakn pengajian kitab turath kepada masyarakat. Sukatan pelajaran yang diwarisi turn temurun merupakan khazanah yang dipusakai hingga ke hari ini.

Khazanah ini terdiri dari mutiara-mutiara ilmu yang berbagai-bagai aneka ilmu pengentahuan, sehingga ianya akan menghasilkan seorang pelajar yang lengkap dengan pengentahuannya kelak.

Sebagai kelas pengajian tradisional ilmu, ianya tidak dapat lari dari pelajaran asas agama seperti syari’ah, usuluddin dan tasawuf. Tida serangkai yang tidak dapat diceraikan lagi dari bidang keilmuan.

 

Di antara sukatannya ;

1.   Fekah

Antara kitab fekah yang diajarkan di sini ialah kitab jawi dan arab. Antaranya kitab Matla’in Badrain, Mushalli, Wisyahul Afrah, jawahir as-saniah dan lain-lain. Sementara kitab arabnya seperti Fathul Mujib, Fathul Mu’in, Iqna’, Mahalli, Fathul Wahhab dan sebagainya.

2.   Nahu

Antaranya, Matan Ajrumiah, Mukhtasar, Ashmawi, Syeikh Khalid, Suzur al-zahabi, Qatrul Nada dan lain-lain.

3.   Soraf

Antaranya, Matan Bina’ wal asas, Matan Maqsud, Matan ‘Izzi, al-Kailani dan lain-lain lagi.

4.   Tafsir.

Antaranya, Tafsir Juz Amma, al-Jalalain, al-Nasafi, Ibnu Kathir dan sebagainya.

5.   Hadis.

Antaranya seperti kitab, Matan Arba’in, Bulughul Maram, Riyadhuh Shalihin, Sunan Sittah dan lain-lain.

6.   Usuluddin.

Antaranya seperti, Matan Ummi Barahim, Kifayah al-Awwam, Fath Majid, Dusuki, Aqidatul Nasafiah dan sebagainya.

7.   Tasawuf.

Antara kitab yang diajar, Penawar Bagi Hati, Siyarus Salikin, Hidayatul Salikin, Minhajul ‘Abidin, Hikam dan lain-lain.

Di samping itu terdapat banyak lagi sukatan dan kitab pelajaran yang akan dipelajari oleh pelajar di pondok ini. Paparan ini sekadar sebutan selayang pandang untuk mengambarkan sukatan pelajaran yang terdapat di sini agar ianya dikenali oleh masyarakat luar.

Aneka pelajaran yang diibaratkan sebuah lautan yang dalam menjadikan pondok sentiasa dikunjung tiba. Tanpa merasa jemu pelajar akan terus menerokai khazanahnya untuk memungut mutiara ilmu yang tak ternilai harganya dengan wang ringgit.