PENGASAS PONDOK SUNGAI DURIAN

 

Pondok  ini di diasaskan oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Beliau merupakan anak tempatan Kuala Krai yang dilahirkan di Kampung Guchil Lama pada tahun 1923.

 

Tuan Guru Haji Abdul Rahman adalah seorang tokoh ulama’. Beliau mendapat pendidikan asas dengan mempelajari al-Quran dari ayahnya sendiri iaitu Lebai Haji Sulaiman atau Pak Da Sulaiman. Di samping itu anak ketiga dari sembilan beradik ini memulakan persekolahan peringkat rendah di Sekolah Melayu Sultan Yahya Petra Kuala Krai, beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Sultan Idris Training Colleg (SITC), Tanjung Malim. Malangnya pemilihan ini tidak dipersetujui oleh ayahnya kerana mahukan beliau mendalami  ilmu agama di pondok-pondok.

 

 Lantaran itu beliau dihantar ke pondok Paloh Rawa, Machang dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Jalal  pada 05 Mac 1938. Di sana beliau mempelajari asas Bahasa Arab  dengan Tuan Guru Haji Husain Abdul Samad (Melaka). Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Kerawang, Pulai Chondong di bawah Tuan Guru Haji Ahmad Haji Abdul Kadir. Kemudian menyambung pengajian ke Pondok Kemuning, Machang dengan Tuan Guru Haji Yusuf  Che Tengah. Seterusnya beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Muhammad Nor Abdullah di Pondok Buk, Ketereh dan sesudah itu beliau merantau  ke Bukit Mertajam menyambung pengajian dengan Tuan Guru Haji Uthman Jalaluddin di Pondok Manabi’ al-Ulum, Penanti.

 

Pada tahun 1951 al- Marhum telah berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Di sana beliau belajar di Madrasah Dar al-Ulum al-Diniyyah dan di Masjid al-Haram selama tujuh tahun, di antara guru-guru beliau di Mekah ialah:

 

  1. Syeikh  Muhammad Daud Sulaiman al-Kelantani
  2. Syeikh  Muhammad Mukhtar Abdul Malik Kediri al-Anfunani al –Indunisi.
  3. Syeikh Abdul Qadir Abdul Muttalib al- Mandili al-Indunisi
  4. Syeikh  Mohammad Yasin Isa al-Fadani Makki
  5. Syeikh  Pak Da  Ail Fattani
  6. Syeikh  al-Saiyyid al-Amin al-Kutubi
  7. Syeikh  Hassan Mohamamd al-Masshat

8.   Syeikh  Hassan al-Yamani

9.   Syeikh  Alwi Maliki

10. Syeikh  al-‘Arabi

11. Syeikh   Mohammad Amin

12. Syeikh   Nur Saif

13. Syeikh   Zakaria Bilal.

 

 

Pada tahun 1958 al-Marhum telah kembali ke tanah air. Kemudian mendirikan Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian, sebagai satu usaha memberi pendidikan agama kepada masyarakat.

 

Semasa hayatnya beliau pernah dilantik menjadi anggota Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan.Beliau juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pengasas penubuhan Yayasan pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri pada tahun 1965.

 

Di samping bertungkus lumus memberi pendidikan kepada anak bangsa, beliau juga aktif dalam berbagai bidang, misalnya dalam bidang politik  dan penulisan.Ini kerana beliau menyedari bahawa tenaga dan ilmu yang ada perlu dicurahkan sebanyak mungkin demi untuk kepentingan agama selaras dengan ilmu yang diperolehi.

 

Di antara hasil tulisan beliau ialah : “ Lawatan ke Timur Tengah” (1966), “ Jadual Dua Kalimah Syahadah” (1968) dan “ Jadual al-Kalam” (1975).

 

Tuan Haji Abdul Rahman berkebolehan mengajar beberapa bidang ilmu, antaranya ilmu fiqh, Tafsir, Hadith, Ilmu Usul (akidah),  ilmu Tasawwuf, Sirah Nabawiyyah, Nahu / Saraf, ilmu Balaghah, Usul Fiqh, Ulum al-Quran, Mustalah al-Hadith, Mantiq, ilmu Fara’id dan ilmu Falak, beliau juga seorang pemidato yang sangat petah berhujjah.

 

Al-Marhum Haji Abdul Rahman meninggal dunia pada malam ahad 20 februari 1988. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.