SEJARAH PONDOK GELANG MAS

 

       

Sejarah Penubuhan

 

Menyedari bahawa pendidikan dan tarbiah adalah gabungan antara ilmu, amal, iman dan penghayatan yang ikhlas, suatu daya usaha yang berterusan digerak dan digarapkan dengan dokongan mereka yang prihatin, bertanggungjawab dan menghayati roh jihad serta komited yang jitu dari segenap lapisan masyarakat maka Madrasah Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Gelang Mas telah ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Tuan Guru Hj Awang bin Yusuf yang merupakan antara murid terdekat dengan Tuan Guru Hj Abdul Aziz Pasir Tumboh dengan didokong oleh beberapa orang pembantu yang mencurahkan seluruh daya, usaha, keringat idea dan pengorbanan yang mana bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang terpaksa dilalui bukan sekali dua cabaran yang terpaksa diatasi dan bukan mudah denai beranjau yang terpaksa direntas. Sebelum balik ke kampung untuk membuka pondok ini, beliau mencurahkan ilmunya di Pondok Pasir Tumboh iaitu tempat pengajiannya. Malah sehingga tahun 2005 beliau terus menabur khidmat di Pondok Pasir Tumboh secara sambilan seminggu sekali. Beliau pada awalnya agak keberatan untuk membuka pondok setelah diminta oleh penduduk kampungnya tetapi atas nasihat daripada Tuan Guru Hj Hashim Pondok Pasir Tumboh yang memintanya supaya memperkenankan permintaan orang yang begitu memerlukan khidmat dan ilmunya maka beliau akhirnya membuka pondok ini.

Dengan tertubuhnya Madrasah Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Gelang Mas maka suatu medan yang subur sebagai pusat penyebaran ilmu dan penghayatan amal yang ikhlas dapat dilihat tersergam gagah sebagai kesinambungan kepada kemasyhuran daerah Pasir Mas ini yang terkenal dengan pusat pengajian pondok yang begitu banyak sejak dari dahulu lagi

 

 

Objektif Penubuhan

 

  1. Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan syakhsiyyah
  2. Melahirkan pelajar yang mampu menjadi pemimpin
  3. Melahirkan pelajar yang mampu menguasai kitab turath
  4. Melahirkan pelajar muslim yang berwibawa dari segi akhlak, syakhsiyyah, keterampilan
  5. Melahirkan masyarakat yang prihatin dalam memahami Islam sebagai ad-Din yang syumul
  6. Melahirkan intelektual yang mempunyai ilmu yang boleh menangani permasalahan semasa masyarakat dalam segenap bidang kehidupan
  7. Membentuk dan melahirkan golongan mukmin yang patuh kepada system hidup Islam dan peraturan masyarakat yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah
  8. Melahirkan muslim yang celik al-Quran dan dapat menghayatinya dalam segenap bidang kehidupan

 

Lokasi

 

Madrasah Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Gelang Mas terletak di Kg Banggol Naim, Gelang Mas kira-kira 11 km dari Pusat Bandar Pasir Mas di atas sebidang tanah seluas 4 ekar lebih