Salam Perkenalan
Bismillahirrahmanirrahim....
Institusi pengajian pondok merupakan antara sistem pengajian
awal yang tumbuh di negara ini selepas melalui suatu zaman
di mana kebanyakan rakyat jelata belajar ilmu secara tidak
formal dengan tiadanya sebarang institusi tersusun dan
tetap. Kita dapat melihat bagaimana dari dahulu sehingga
sekarang sistem pengajian ilmu agama samada pengajian kitab
atau ceramah di masjid dan surau terus berlangsung sebagai
tambahan dan juga pengisian yang penting walau pun telah
wujud sistem pengajian yang semakin berkembang dengan pesat
melalui sistem pengajian formal yang lebih tersusun.
Begitulah juga yang berlaku terhadap institusi pengajian
pondok yang terus kekal walau pun tidak serancak zaman
kegemilangannya dalam mengeluarkan golongan faham agama yang
mampu bergerak bersama arus perdana dalam menyumbangkan
khidmat dan bakti demi kepentingan agama dan negara.
Institusi pengajian pondok dengan falsafah pendidikannya
yang tersendiri disamping beberapa keistimewaan yang tidak
mampu diambil alih oleh sistem pendidikan moden tetap
menjadi pilihan sebagai pusat pendidikan alternatif sehingga
ia mampu bertahan sehingga hari ini.
Sistem pengajian tradisional yang diwarisi
daripada ulama' silam terus dipertahankan oleh institusi
pondok sehingga ia pada zahirnya nampak lemah tetapi hakikat
asasnya begitu teguh dan utuh yang tidak goyah ditiup angin
peredaran zaman dan tidak runtuh dipukul ombak perubahan
masa. Apa yang pasti ialah sesuatu yang lama jika bermanfaat
mesti dipertahankan daripada mengagungkan sesuatu yang baru
dan moden sedangkan ia nampak cantik buat seketika dan
manfaatnya tidak lama di mana akhirnya ia memakan diri kita
sendiri. Begitulah yang sedang menimpa sistem pendidikan
moden yang gah dari segi pembangunan material dan tersusun
dari segi sistem pengajiannya tetapi bagaikan ada sesuatu
yang tidak kena sehingga gagal dalam menangani masalah
kepada meningkatnya masalah sosial di kalangan pelajar dan
mereka yang habis belajar. Sikap menjadikan ilmu sebagai
bahan jualan dan sijil sebagai suatu buruan menyebabkan
amanah ilmu tidak lagi dijaga. Malah sikap buruk yang
menyebabkan semakin tinggi ilmu yang dipelajari maka semakin
kuat rasa megah dalam diri turut merosakkan akhlak
masyarakat. Akhirnya ilmu yang sepatutnya menjadi bekal dan
asas dalam melahirkan keperibadian yang mulia gagal
dimanfaatkan sebaliknya ia disalahgunakan sehingga
masyarakat menjadi rosak walau pun ilmunya banyak.
Menyedari tentang perlunya kita kepada asas
pendidikan yang betul dan bertepatan dengan apa yang pernah
ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w serta diikut oleh para
pewaris nabi daripada kalangan ulama' maka kita wajib
mencontohinya agar kegemilangan ilmu dan tamadun Islam yang
bersepadu antara kebendaan dan kemanusiaan dapat kembali
berulang. Ambillah keistimewaan yang ada pada sistem
tradisional untuk diadunkan dengan sistem moden sehingga
kita tidak menjadi seumpama orang yang kerugian akibat
membuang manfaat yang ada sedangkan apa yang dikejar belum
tentu diperolehinya malah jika diraih pun belum tentu ia
bermanfaat. Di samping itu semua institusi pengajian samada
tradisional atau moden mesti bekerjasama dalam setiap
perkara dalam menangani masalah buta agama serta pembinaan
tamadun yang berasaskan islam mengikut kepakaran dan
kemahiran yang ada hasil daripada ilmu yang ditimba.
Hentikan perselisihan yang ada yang menyebabkan kita
kerugian masa dan tenaga sedangkan tugas kita terlalu banyak
berbanding waktu yang begitu terhad. Setiap diri kita
mempunyai tanggungjawab untuk ditunaikan di mana jangan
sia-siakannya dengan menghabis masa untuk membincangkan
kelemahan orang lain. Orang yang bersibuk-sibuk berbincang
tentang keaiban orang lain akan menyebabkan dirinya semakin
hampir kepada kebinasaan akibat tiada masa untuk memperbaiki
kelemahan diri sendiri yang tidak dihiraukan lagi.
Fikirkanlah tanggungjawab kita yang begitu banyak dan jangan
terlalu memikirkan waktu rehat kita yang semakin singkat.
Wassalammm...
pppb1995@yahoo.com |